Thariq berjalan perlahan di persisiran pantai. Hatinya masih tidak dapat melupakan Anis. Namun, dia cukup terluka dengan tindakan Anis yang terlalu drastik membuat keputusan. Bukannya dia tidak berjanji untuk mengahwini Anis namun Anis tetap tegas dengan keputusannya. Dalam diam, Thariq berjanji untuk membuat Anis berasa menyesal dengan keputusan yang telah dibuatnya sendiri. Thariq benar-benar rasa dipermainkan. Walaupun masih bersisa sekelumit rasa sayang, namun rasa dendam lebih menguasai dirinya.
Thariq bin Abdullah, anak kepada Dato’ Abdullah Wong seorang usahawan terkenal yang memiliki beberapa syarikat perniagaan di seluruh negara. Ayahnya sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan namun Thariq tidak mengambil peduli akan hal itu asalkan ayahnya sentiasa memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya. Ibunya telah lama meninggal dunia dalam satu tragedi kemalangan semasa Thariq berumur 5 tahun. Sejak kejadian itu, ayahnya berubah sikap. Dirinya tidak begitu diendahkan. Thariq membesar bersama Mak Nab, orang gajinya. Pernah suatu hari Thariq menjerkah Mak Nab gara-gara Mak Nab menegurnya pulang lewat ke rumah.
“Thariq baru balik? Thariq pergi mana ni..kenapa balik lambat sangat?”
“Mak Nab ni apsal. Mak Nab tak berhak ambik tahu mana Thariq pergi semua. Bisingla Mak Nab ni. Boleh tak jangan berlagak jadi mak bapak Thariq. Ayah tak pernah bising pun Thariq balik lewat ke, pergi mana ke. Dah, pegi sambung kerja Mak Nab!”
Mak Nab terkesima. Hati tuanya pilu. Walaupun Thariq bukan anaknya, tapi teringat akannya pesan Datin Liza iaitu ibu kepada Thariq sebelum dia kembali ke rahmatullah.
“Zainab, tolong la jaga keluarga akak ni kalau ditakdirkan akak pergi dulu. Buat keluarga akak macam keluarga Zainab sendiri. Akak pun dah takde sape-sape dah kt dunia ni. Dato’ pun sejak masuk Islam dah dibuang dari keluarga dia. Buat Thariq macam anak akak sendiri ye.”
“baik kak..terima kasih sangat sebab akak sudi ambil Zainab kerja kat rumah akak walaupun akak tahu sejarah Zainab”
Mata Zainab bergenang lagi mengingatkan sejarah silamnya. Sejarah pahit yang tidak akan pernah dapat diubah. Terasa menyesal sekali namun nasi sudah menjadi bubur. Terasa rindu sekali hatinya pada arwah ibu dan bapanya. 25 tahun yang lalu, Zainab mengambil keputusan untuk mengikut teman lelakinya, Azri, walaupun dilarang keras oleh ibu dan bapanya. Dia terlalu sayangkan Azri sehingga sanggup mengenepikan ibu dan bapanya sendiri. Bukan Zainab tidak tahu perbuatannya melanggarkan syariat Islam, namun kerana nafsu dan perasaan, Zainab sanggup lakukan segala-gala untuk Azri. Benar kata pepatah, cinta itu buta sehingga Zainab menjadi buta untuk menilai mana yang batil dan haq. Hebat benar perasaan dilamun cinta tatkala itu. Cinta yang tidak halal baginya. Zainab akhirnya jatuh dalam pujuk rayu Azri dan terperangkap dalam permainan syaitan. Zainab tekad untuk lari dari rumahnya malam itu. Malam yang mana kesuciannya dinodai oleh Azri.
*************************************
“Before spermatozoa can fertilize the oocyte, they must undergo capacitation process where a glycoprotein coat and seminal plasma proteins are removed from the spermatozoon head. Other than that, they must undergo the acrosome reaction…,” sayup-sayup kedengaran suara Prof Dr Hanisah yang memecahkan keheningan suasana dewan kuliah pada pagi itu.
“Subhanallah,” ucap Anis perlahan. Hatinya kagum dengan kejadian Allah yang sangat indah dan rumit itu. Tiada siapa yang dapat menandingi kekuasaan Allah. Daripada satu sel, berkembang menjadi manusia dalam masa 9 bulan. Proses yang mampu menyentuh hati bagi individu yang mahu menginsafinya. Tersebut dengan jelas proses kejadian manusia di dalam Al-Quran.
“Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian, air mani itu kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu lalu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik” (Al-Mukminun:12-14)
Prof Dr Hanisah menghabiskan kuliahnya yang bertajuk ‘ Embryology: Human Fertilization, Nidation and Placental Development’ pagi itu. Anis mengemas bukunya. Rakan-rakannya ramai yang sudah beredar dan tidak kurang juga yang mengajaknya pulang bersama. Namun, dia menolak dengan baik kerana dia harus ke Islamic Centre untuk membeli hadiah sempena ulang tahun kelahiran teman baiknya, Zalikha. Anis bercadang untuk membelikan sesuatu yang benar-benar berguna untuk temannya. Sesuatu yang mampu dijadikan saham dunia akhirat. Tidak seperti kebiasaan yang mana anak-anak gadis mendapat hadiah seperti coklat, teddy bear atau wangian dan rantai. Dia benar-benar mahu mencari sesuatu yang secara tidak langsung terselit mesej dakwah yang mampu menarik hati sahabat baiknya itu untuk terus berusaha menjadi serikandi Islam yang sebenarnya. Teman baiknya itu pernah bersekolah di sekolah agama. Namun mungkin kerana terpengaruh dengan aliran fesyen muslimah sekarang yang kononnya ingin menampilkan remaja muslimah yang bergaya, Zalikha kurang mementingkan aspek pakaian yang menutup aurat dengan betul. Tudung yang menutupi rambutnya tidak lagi tudung bulat seperti zaman persekolahannya tetapi selendang panjang yang sudah menjadi trend di kalangan anak gadis sekarang. Secara zahiriahnya memang kelihatan bergaya tetapi tetap tidak mengikut landasan syariat yang betul. Ada selendang yang jarang, tidak menutupi dada dan sebagainya. Anis teringat akan maksud salah satu ayat di dalam al-Quran yang menekankan mengenai aurat wanita.
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki atau para pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadapa perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung.” (An-Nur:31)
Suasana di Islamic Centre tenang. Mungkin masih awal. Anis membelek barang di tangannya. MpQ, seperti mp3 tetapi telah diubahsuai dan dimasukkan ayat-ayat suci al-Quran. Bentuknya yang seperti al-Quran mini itu menarik berjaya menambat hati Anis.
“Assalamualaikum,encik. Ni boleh ke saya nak test MpQ ni?” tanya Anis kepada pemuda yang sedang duduk di kaunter pembayaran sambil khusyuk membelek sebuah buku.
Pertanyaan Anis ternyata membuat pemuda itu terperanjat. Manik-manik peluh pada wajah pemuda itu mula kelihatan.
“Err..boleh-boleh. Bak mai saya masukkan bateri sat na,” ujar pemuda itu yang jelas sekali loghat utaranya. Terketar-ketar tangannya memasukkan bateri.
Anis tidak mengambil pusing hal itu. Dia tertinjau-tinjau ke bahagian tudung. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya di sana. Anis melangkah pergi meninggalkan kaunter pembayaran. Tudung bercorak floral bidang 50 itu menarik perhatiannya. Anis memilih 2 helai tudung berwarna merah jambu dan ungu lembut. Sekembalinya di kaunter pembayaran, pemuda tersebut telah tiada tetapi diganti oleh seorang pakcik yang pada pemerhatiannya telah berusia lewat 50-an.
“Ni dik, MpQ yang adik suruh test tadi. Alhamdulillah, semua berfungsi elok. Kat dalam ni, ada petunjuk macamana nak guna,”
“Oh, terima kasih pakcik. Emm..saya percaya dengan pakcik. Saya jadi beli ye pakcik. Tambah dengan 2 helai tudung ni,”
“Maaf ye dik..tadi tu pekerja pakcik. Dia memang gugup sikit kalau berdepan dengan customer perempuan. Maaf kalau buat adik tak selesa,”
“Eh takpe pakcik. Alhamdulillah, masih ada pemuda macam tu ye pakcik. Malu tu kan sebahagian daripada iman. Lagipun dalam surah An-Nur ayat 30 dah terang-terang suruh lelaki yang beriman menjaga pemandangan,” ujar Anis bersungguh-sungguh.
Pakcik itu hanya tersenyum. Dia sibuk membungkus barang-barang yang dibeli oleh Anis. Setelah melakukan transaksi pembayaran, Anis segera meminta diri untuk beredar.
“Adik, syukran katsiran ye. Alhamdulillah adik bukan calang-calang orangnye. Nama apa ye dik,”
“owh..’afwan pakcik. Saya Anis. Saya orang biasa je pakcik. Tak ada ape yang istimewanya. Saya minta diri dulu ye pakcik. Ada hal sikit. Assalamualaikum,”
Anis segera mematikan perbualan. Dia tidak mahu dirinya dikuasai perasaan bangga dan riya’ yang merupakan sebahagian daripada permainan syaitan durjana. Tidak ada apa-apa yang perlu dibanggakan apatah lagi untuk merasa bongkak dan sombong kerana tiada sesiapa yang mampu menandingi kehebatan Allah SWT.
Ighfirly ya Allah..detik hati kecil Anis.
*******************************
To be continued..InsyaAllah
Recent Comments